Inisiatif Kesihatan & Kebajikan


Kerajaan Negara Brunei Darussalam sering menjalankan dan melaksanakan pendekatan yang penting untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat dengan menambahbaik kualiti perkhidmatan-perkhidmatan dalam penjagaan kesihatan dan bantuan kebajikan.

Bagi melaraskan dan menyokong penuh Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam mencapai matlamat meningkatkan kualiti hidup rakyat, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Sistem Kesihatan dan Pelan Induk Infrastruktur Brunei Darussalam yang mana merupakan pelan komprehensif yang bertindak sebagai panduan untuk melaksanakan langkah-langkah strategik untuk meningkatkan perkhidmatan-perkhidmatan penjagaan kesihatan negara di abad ke-21 ini. Penggunaan ICT dalam sistem penjagaan kesihatan juga telah dilaksanakan seperti menguatkuasakan dasar untuk mewajibkan penggunaan Sistem Elektronik Rekod Pesakit (Bru-HIMS) di semua pusat kesihatan di Negara Brunei Darussalam.

Manakala dari aspek kebajikan pula, bantuan terus diberikan kepada golongan-golongan masyarakat tertentu seperti yang kurang bernasib baik, warga tua, dan orang kurang upaya melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Selain pihak kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dana Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah untuk Anak-Anak Yatim, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), pertubuhan-pertubuhan sukarela, institusi-institusi perbankan dan lain-lain juga aktif memberi sumbangan dalam aktiviti-aktiviti pembangunan masyarakat dan kepada mereka yang memerlukan bantuan.

Untuk melihat semua perkhidmatan yang berkaitan dengan Kesihatan sila klik di sini, dan bagi Kebajikan pula sila klik di sini.